LAPORAN PENANGKAPAN
AHLI-AHLI keADILan SEREMBAN
PADA MALAM MENJELANG 31 0GOS 2000
Pada malam menjelang
31 Ogos 2000 baru-baru ini seramai enam orang ahli keADILan Bahagian
Seremban, Negeri Sembilan yang meraikan sambutan Hari Kemerdekaan
ke 43 yang bergerak secara konvoi kenderaan dengan mengibarkan
bendera Malaysia dan keADILan telah ditangkap dan disoalsiasat
oleh pehak polis. Arahan penangkapan ini secara jelas adalah
dari Ketua Polis Negeri Sembilan yang juga berada di tempat kejadian
yang secara peribadi mengetuai operasi penahanan tersebut.
Akhbar NST pada 1hb.
September 2000 melaporkan mereka telah mempamerkan gambar Datuk
Seri Anwar Ibrahim semasa didalam perarakan konvoi kenderaan
tersebut. Perkara ini telah disahkan sendiri oleh Ketua Polis
Daerah Seremban, Mak Chee Onn dimana beliau telah dipetik menyatakan
bahawa "The youths were also displaying pictures of Datuk
Seri Anwar Ibrahim". Diantara bahan-bahan bukti yang dirampas
adalah bendera parti keADILan dan gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli-ahli yang ditangkap telah diarahkan untuk melakonkan semula
untuk memasang bendera parti keADILan dikenderaan masing-masing
dan gambar-gambar mereka telah diambil dengan aksi bersama kenderaan
masing-masing bersama bendera keADILan tanpa bendera Malaysia.
Adalah menjadi malang
didalam negara ini apabila ada diantara rakyat Malaysia yang
ingin meraikan secara patriotik sempena sambutan kemerdekaan
baru-baru ini bersama mengibarkan bendera sebuah parti yang sah
telah dianggap seperti penjenayah besar. Mereka telah ditangkap
bermula dari jam 11.30 malam sehingga jam 4.30 pagi iaitu selama
5 jam. Soal-siasat berulang-alik diantara bahagian Jenayah dan
Cawangan Khas dan empat orang dari mereka telah menerima surat
arahan untuk menghadirkan diri di Mahkamah Majistret Seremban
pada jam 9.00 pagi, 13 September 2000.
Diantara yang telah
ditangkap, disoalsiasat dan diarahkan ke Mahkamah Sesyen adalah
sepasang suami-isteri yang juga membawa dua orang anak mereka
yang baru berumur dua setengah tahun dan lima tahun. Pehak polis
langsung tidak menghiraukan nasib dua orang kanak-kanak malang
yang menangis diluar Balai Polis Seremban dan malahan sehingga
terkencing-kencing sementara menanti kedua-dua orang ibu-bapa
mereka yang sedang disoal-siasat oleh pehak polis didalam Balai
Polis. Sikap ini secara langsung mengambarkan sikap tidak berperikemanusiaan
pehak berkuasa didalam menjalankan tugas mereka di atas "kesalahan"
membawa bendera sebuah parti yang sah bersama bendera Malaysia.
Apabila Ketua keADILan
Bahagian Seremban hadir di Balai Polis pada jam 12 tengahmalam
dan bertemu dengan Ketua Polis Negeri untuk menyelesaikan masalah
tersebut, beliau berkeras untuk meneruskan soal-siasat dan menyatakan
terpulang kepada mahkamah yang akan menentukan andaikata mereka
akan didakwa. Apabila ditanya adakah mana-mana pehak lain yang
meraikan malam kemerdekaan ditangkap semasa perarakan yang banyak
berlaku disekitar bandar Seremban; beliau menjawab tidak tahu
pada peringkat awalnya dan akhirnya bersetuju bahawa hanya ahli-ahli
keADILan yang berarak konvoi kenderaan yang ditangkap.
Adalah lebih malang
kerana pada malam tersebut banyak berlaku perarakan yang menganggu
keadaan lalu-lintas. Malahan dihadapan perhentian bas Terminal
One Seremban berlaku perkara-perkara yang cukup memalukan dengan
anak-anak muda yang mabuk dan menganggu kenderaan yang lalu-lintas.
Ada diantara mereka telah mencurahkan arak di atas kenderaan
yang lalu secara perlahan dan ada jua diantara mereka yang membuka
baju serta mula baring di atas jalan. Pehak polis yang ada tidak
membuat sebarang tangkapan dan nampaknya Ketua Polis Negeri Sembilan
lebih tertarik untuk menahan ahli-ahli keADILan yang bergerak
didalam konvoi kenderaan secara aman. Ini semata-mata kerana
mereka membawa bersama bendera parti dan gambar pemimpin mereka
semasa konvoi kenderaan tersebut.
Parti Keadilan Nasional
merasa cukup kesal di atas tindak-tanduk pehak polis yang gagal
memahami hak asasi rakyat negara ini yang ingin menyuarakan suara
mereka menerusi sebuah parti yang sah. Perarakan di malam sambutan
kemerdekaan sewajarnya dialukan walaupun mereka membawa bersama
bendera parti. Ini kerana Parti Keadilan Nasional adalah sebuah
parti yang sah yang jua ingin bersama meraikan malam tersebut.
Tindakan menahan sepasang suami-isteri tanpa menghiraukan dua
orang anak kecil mereka adalah sesuatu tindakan yang amat mengaibkan.
Penahanan selama lima jam ibu-bapa mereka seolah-olah seperti
penjenayah besar adalah sesuatu yang tidak sewajarnya berlaku.
Tidak ada seorang anggota polis yang ingin mengambil tahu tentang
nasib anak-anak kecil yang terbiar di luar Balai Polis Seremban
semasa ibu-bapa mereka di soalsiasat. Anak-anak kecil ini bernasib
baik kerana ramai diantara ahli-ahli keADILan yang berada diluar
Balai Polis Seremban cuba mententeramkan mereka.
Walaubagaimanapun,
pada jam 4.00 pagi, Ketua keADILan Bahagian Seremban tidak dapat
menahan sedih dan sabar apabila melihat anak-anak kecil tersebut
menangis-nangis sambil terkencing-kencing untuk berjumpa ibu-bapa
mereka lalu mendukung mereka dan terus menyerbu masuk di bilek
Cawangan Khas Seremban di tingkat satu Balai Polis serta menyerahkan
anak kecil tersebut kepada ibu mereka.
Kita merayu agar pehak
polis dapat bersikap profesional dan dapat menghormati hak asasi
rakyat negara ini walaupun mereka adalah dari parti bukan pemerintah.
Parti Keadilan Nasional
Bahagian Seremban menyeru kepada semua penyokong-penyokong yang
bersimpati untuk turut serta memberi sokongan moral kepada ahli-ahli
parti yang telah disoalsiasat diatas "kesalahan" ini
untuk turut hadir diperkarangan Mahkamah Majistret Seremban pada
jam 9.00 pagi, 13 September 2000.
Lawan tetap lawan
|